ImanYaman

Sejarah Yaman

Abu dzar +967711318793 (Yaman)

taufiq_amini@yahoo.com

To contact us:

 

Hikmah di sebalik bumi Yaman

 

Yaman adalah salah sebuah negara yang jarang menjadi sebutan di bibir masyarakat.  Ianya salah satu negara yang tersembunyi berbagai hikmah dan rahsia. Negara yang jauh dari pandangan masyarakat negara-negara lain kerana ketandusan dan kemundurannya, namun ia mempunyai kelebihan yang jarang dirasai oleh masyarakat luar. Daripada kebudayaannya, pembangunannya dan keunikan kota-kota silam yang tersimpan pelbagai sejarah dari zaman nabi-nabi terdahulu, zaman sahabat, sehinggalah zaman kebangkitan Islam.

 

 

Sirah :

Pelbagai sejarah dari Al-Quran dan Hadis menceritakan tentang Yaman. Daripada Zaman Saba`  (puteri Balqis), Zaman Rasulullah hinggalah zaman Sahabat dan Tabi`en.

 

Antara hadis Rasulullah yang menceritakan tentang Yaman, Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

 

 “ Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat, Iman itu di Yaman, dan Fiqh itu di Yaman, dan Hikmah juga di Yaman”  (Hadis Sohih- riwayat Muslim)

 

 Timbul berbagai persoalan kenapa Rasulullah melafazkan sabdanya tersebut untuk bumi Yaman ?

dan kenapa tidak di tujukan Iman dan hikmah itu kepada negara-negara lain. Sedangkan beliau sendiri tidak pernah sampai ke Yaman ?

 

 Di sini ada tiga pendapat ulama yang disebutkan oleh Imam Nawawi :

 

Pendapat pertama : Mengatakan bahawa Rasulullah maksudkan dengan hadis tersebut adalah Mekkah, kerana Mekkah penduduknya adalah dari ahli Tihamah, dan Tihamah itu di Yaman.

 

Pendapat kedua : Mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah Mekkah dan Madinah. Dan ketika Rasulullah meriwayatkan hadis tersebut ia berada di Tabuk (iaitu tempat yang pernah menjadi medan peperangan pada zaman Rasulullah dahulu) dan ketika itu di antara Mekkah dan Madinah adalah Yaman, Maka Rasulullah menudingkan jarinya ke penjuru Yaman sepertimana yang dinamakan “rukun Yamani” yang dimaksudkan Mekkah dan Madinah.

 

Dan pendapat ketiga pula : Mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah kaum Al-Ansar di Madinah, kerana kaum Ansar juga berasal dari Yaman.

 

 

 Kisah-kisah ahli Yaman yang memeluk Islam pada zaman  Rasulullah s.a.w telah terbukti bahawa hati ahli Yaman adalah seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

 

 Tufail bin Amru adalah seorang ketua Qabilah Ad-Dausi dan juga seorang penyair yang termasyhur pada zaman jahiliyyah.  Beliau terdengar cerita tentang seorang pemuda yang membawa risalah Islam di Mekkah, timbul rasa keinginan di hatinya untuk menemui pemuda tersebut. Apabila tiba musim haji  pada tahun kesebelas kenabian beliau berangkat ke kota Mekkah untuk menunaikan haji, dan apabila beliau tiba di kota Mekkah beliau dinasihatkan oleh kawan-kawannya supaya menutup telinga dengan kapas ketika tawaf berhala supaya tidak terdengar suara pujukan dakwah Muhammad s.a.w. Pada keesokan harinya beliau terjumpa seorang pemuda yang sedang bersolat dan membaca ayat-ayat yang indah yang tidak pernah beliau dengari sebelum ini. Beliau berkata: “Ini bukanlah kalimah syair seperti dinyanyikan oleh penyair-penyair lain dan bukan juga kalimah jampi sihir dari ahli sihir tapi adalah kalam yang indah yang tidak pernah ku dengari” Akhirnya beliau memeluk Islam di tangan pemuda tersebut iaitu Rasulullah S.A.W. dan apabila pulang ke Yaman beliau menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk sekitarnya termasuk bapanya dan isterinya dan juga ahli-ahli di bawa jagaan Qabilahnya (Ad-Dausi) sehingga Abu Hurairah yang dikenali sebagai pemuda  yang sukar untuk mempercayai orang lain akhirnya beliau juga memeluk Islam di tangan Tufail bin Amru Ad-Dausi.

 

Begitu juga dengan kisah-kisah sahabat dari Yaman yang lain seperti   Abu Musa Al-As`ari, Qais bin Namt Al-Hamdani yang dikenali antara sahabat terawal meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.  dan begitu juga sahabat-sahabat yang lain.

 

Adat dan budaya :

 Jika dilihat dengan mata kasar, negara Yaman memang tiada keistimewaannya tetapi bila diteliti dan dikaji ia  banyak keindahan yang unik dan seni yang tak pernah kita lihat di negara kita dan negara-negara lain. samada keunikan dari bentuk binaan rumah, kesenian adat budaya dan cara hidup mereka.

            

Dari segi perhubungan dan perbualan masyarakatnya pula, kebanyakan mereka masih bertutur dengan bahasa arab yang fushah. Walaupun ada sebahagian kawasan pendalaman yang menggunakan bahasa pasar (`ami) namun tak beza sebahagian  kalimah-kalimahnya dengan kalimah fushah.

 

Ilmu :

Sepertimana yang dilafazkan oleh Rasulullah dalam sabdanya “Wal fiqhul yaman”  di sini banyak ulama mentafsirkan dari kalimat Fiqhul yaman adalah ilmu kerana orang yang mula mengembangkan syariat Islam adalah golongan dari ahli Yaman. Dan ada ulama berpendapat pula bahawa kaitan ilmu dengan Yaman kerana ahli Yaman adalah ahli yang mudah menerima dakwah Islamiah ketika zaman kenabian. Dan mereka juga antara kaum yang berpegang kuat pada hukum syariat Islam.

Sehingga kini yaman masih tak hilang para ulama-ulama yang sering menyampaikan dakwah islam samada kepada masyarakat tempatan ataupun masyarakat luar.

 

Dan disegi semangat masyarakat yaman dalam mencari ilmu juga tidak pernah hilang, turun temurun dari generasi ke generasi yang lain dalam mencari ilmu dan berdakwah. Dan di Yaman juga terdapat banyak tempat pengajian samada tempat pengajian bersistem pengajian kitab lama(pondok) ataupun pengajian moden (sekolah dan universiti)

Ustaz Ridzuan Shamsuddin +60192694323

(Malaysia)

ImanYaman